1. Seumpama Bahtera Nabi Nuh as
Al-Suyuti dalam kitabnya Ihya al-Mait bi Fadail Ahlul Bayt meriwayatkan dari al-Bazaar meriwayatkan dari Ibnu Abbas, berkata: Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
" Perumpamaan Ahlul Baytku ibarat Bahtera Nuh. Sesiapa yang ikut berlayar bersamanya dia akan selamat, dan sesiapa yang enggan dan terlambat, dia akan tenggelam." [ Ibnu Hajar, Zawaid Musnad al-Bazzar, hlm.277; Al-Tabrani, al-Mu'jam al-Kabir, Juzuk I, hlm.168 ]
2. Bintang Keselamatan
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dan Musaddad dalam musnadnya, al-Hakim, al-Tirmidzi dalam Nawadir al-Usul, Abu Ya'la dan al-Tabrani dari Salamah bin al-Akwa' dia berkata: Rasulullah saww bersabda yang bermaksud:
" Bintang-bintang di langit adalah petunjuk keselamatan bagi penghuni langit dan Ahlul Baytku adalah penyelamat umatku." [Al-Hakim, al-Mustadrak, Juzuk III, hlm.457]
3. Asas Islam
Ibnu al-Najjar dalam Tarikhnya meriwayatkan dari Hassan bin Ali AS, dia berkata: Rasulullah saww bersabda yang bermaksud:
" Setiap sesuatu mempunyai asas dan asas Islam adalah kecintaan kepada sahabat, Rasulullah saww dan Ahlul Baytnya." [Al-Suyuti, al-Dur al-Mansur, Juzuk 6, hlm.7]
4. Mencegah dari Kesesatan
Al-Tirmidzi meriwayatkan sebuah Hadith dari Jabir ia berkata: Rasulullah saww bersabda yang bermaksud:
" Wahai manusia, sesungguhnya aku telah meninggalkan kepada kalian apa yang mencegah kalian dari sesesatan selama kalian berpegang teguh dengannya iaitu Kitab Allah dan Itrahku, Ahlul Baytku." [Al-Tirmidzi, Sahih, Bab Manaqib Ahlul Bayt al-Nabi SAWA, Juzuk 22, hlm. 308]
5. Model kepada Anak-anak
Al-Dailami meriwayatkan dari ‘Ali as dia berkata bahawa Rasulullah saww bersabda:
" Didiklah putra-putrimu tiga perkara - Kecintaan kepada Nabimu, kecintaan kepada Ahlul Baytnya dan membaca al-Quran. Sesungguhnya pembawa al-Quran berada di bawah naungan Allah pada hari di mana tiada naungan kecuali naungan-Nya bersama para Nabi dan para (Asfiya') orang-orang pilihan-Nya." [Kanzul Ummal, Juzuk VIII, hlm.278]













